Sedekah merupakan pemberian yang ikhlas sebagai bukti ketaatan kepada Allah s.w.t. Sedekah sememangnya tidak dapat dipaksa melainkankan lahir dari hati untuk memberi berdasarkan kemampuan seseorang itu.

Erti sedekah dalam Islam itu sangat luas sekali. Sedekah bukan sahaja dalam bentuk kebendaan, tetapi boleh dilakukan dengan pertolongan, mengajarkan ilmu, senyuman, memberi nafkah, berzikir dan sebagainya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda;

“Kamu menyingkirkan batu, duri dan tulang dari tengah jalan itu adalah sedekah bagimu.”

Hadis Riwayat Bukhari

Sebenarnya, banyak balasan yang Allah berikan bagi golongan yang gemar bersedekah. Antaranya;

#1 – Menghapuskan Dosa

Dengan bersedekah juga dapat menghapuskan segala dosa dan kesalahan terdahulu. Namun, terlebih dahulu mestilkah segala dosa itu dikesali dan dinsafi dengan taubat nasuha untuk tidak mengulanginya lagi.

Baginda s.a.w bersabda yang bermasud:

“Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api”

Hadis Riwayat at-Tirmidzi

#2 – Memisahkan Diri Dari Neraka

Nabi s.a.w bersabda:

“Bersedekahlah kamu sekalian, kerana sesungguhnya sedekah itu pemisah dari neraka.”

Selain itu, walau bersedekah apapun dengan bilangan yang sedikit sekalipun dapat mengelakkan diri dari api neraka. Sabda Baginda lagi;

“Jauhkan dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) sebutir kurma.”

#3 – Dilipat Gandakan Pahala

Sedekah juga perbuatan yang sangat disukai Allah s.w.t selain menjadi amalan baik yang memberi ganjaran pahala kepada sesiapa yang bersedekah. Allah berfirman yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang mendermakan (sedekah) harta bendanya di jalan Allah, seperti (orang yang menanam) sebutir biji yang menumbuhkan tujuh untai dan tiap-tiap untai terdapat seratus biji dan Allah melipat gandakan (balasan) kepada orang yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas (anugerahNya) lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Baqarah:261

#4 – Melalui Jambatan Siratal Mustaqim Dengan Cepat

Siratal Mustaqim yang tidak ramai berjaya harungi akan menjadi lebih mudah kepada pemberi sedekah. Lalu janganlah kedekut kerana dengan berdekah akan menjadi pembantu dan penolong kita di hari akhir nanti.

#5 – Memadamkan Kepanasan Alam Kubur

Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang mukmin akan bernaung dibawah bayang-bayang sedekahnya.”

Hadis Riwayat at-Thabrani

#6 – Mendapat Naungan Pada Hari Akhirat

Golongan yang gemar bersedekah merupakan golongan yang akan menadapat naungan Allah pada hari Akhirat kelak.

Namun, ianya haruslah mereka yang ikhlas iaitu yang tidak menghebahkan pemberiannya itu untuk tujuan menunjuk ataupun riak.

“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, maka ia menyembunyikan amalnya itu sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”

Hadis Riwayat Bukhari